Semua manusia suka melihat gambar. Kata orang gambar dapat berbicara seribu kata. Terciptanya TV, lahirnya majalah dan suratkhabar yang begitu tinggi jumlah edarannya adalah hasil dari keajaiban gambar. Zaman moden ini kita dilatih untuk berfikir secara gambar. Melalui media bergambar kita dapat melihat, bertindak, terhibur dan memahami.
Sejarah ilmu yang wujud sebagai seni ini cukup panjang. Kira-kira 150 tahun dahulu, seorang Perancis, Joseph Nicephore Niepce menemui rahsia memindahkan bayang dari cermin. Niepce meninggal sebelum gambar ciptaannya dibuat tetapi penemuan beliau itu telah mengembangkan ilmu ini sehingga sejarah memberi jolokan ‚jurugambar pertama dunia’ kepada beliau.
Sejarah fotografi adalah sejarah benda mainan yang diperhatikan secara sungguh-sungguh. Nama sebenar alat ini Camera Obscura, berupa sebuah kotak yang tidak ditembusi cahaya dilengkapi di dalamnya dengan cermin, layar dan lensa. Sejarah tidak dapat meneka siapa penemu pertama kotak ini. Pada prinsipnya penemuan ini adalah kira-kira 10 ribu tahun dahulu ketika mana manusia yang mempunyai tamadun secara teliti mengamati alam secara saksama. Kejadian ini berlaku di Mesir di mana seorang peniaga menemui cahaya dalam khemahnya dari sebuah lubang. Apabila matahari memancarkan cahayanya, bayang unta dan objek-objek lain yang masuk ke dalam khemahnya menjadi terbalik. Penemuan ini adalah secara kebetulan.
Seribu tahun setelah itu Euclid, penemu geometri membuktikan bahawa cahaya memancar lurus. Kemudian pada tahun 350 Sebelum Masehi, Aristotle menemui hakikat yang sama tetapi beliau tidak menghayati penemuan ini. Tahun 1267, Roger Bacon menemukan cermin untuk melihat gambar. Pada abad ke-16 Leonardo de Vinci menemui apa yang kini dikenali sebagai Camera Obscura. Manusia pertama yang menggunakan lensa dalam kamera ialah Daniel Barbaro pada tahun 1568. Lensa tersebut diambil dari kacamata seorang tua. Johann Kepler kemudiannya memberi nafas baru pada penemuan Barbaro.
Kemudian Joseph Nicephore Niepce menemukan cara mencetak baying (image). Jacques Mande Daguerre dari Perancis meneruskan percubaan ini apabila Niepce meninggal pada tahun 1833. Cara mencetak gambar ini dilengkapkan lagi oleh William Henry Fox Talbot pada tahun 1839. Talbotlah orang pertama yang mereka filem negative yang kita dapat lihat sekarang. Dia menamakan penemuannya ini proses calotype dan gambar yang terhasil lukisan photogenic. Kemudian pada tahun 1887 Hannibal Goodmin, seorang Amerika menemukan filem yang lutsinar (transparent).
George Eastman, orang yang mula-mula mencipta gulung filem yang diberi nama Kodak, adalah juga orang yang mula-mula bertanggungjawab mengembangkan fotografi amatur (amateur photography). Perkembangan sejarah kotak hitam ini akhirnya menjurus kepada ciptaan-ciptaan yang lebih sofistikated. Banyaklah nama-nama lain lagi yang dapat ditemui dalam melengkap dan memajukan benda yang dinamakan kamera ini. Umpamanya ciptaan kamera candid, jenis Leica dan Ermanox.
Hanya pada awal abad ke-20, barulah masyarakat pembaca diperkenalkan dengan dimensi baru dalam kewartawanan iaitu kewartawanan foto. Kemajuan ini berlaku di Amerika Syarikat dan Jerman.
Foto sebagai dimensi baru dalam pemberitaan
Di Asia Tenggara hingga saat ini belum meluas penggunaan foto dalam persuratkhabaran. Dapat dikatakan kebanyakan foto yang digunakan hanya sebagai penghias halaman sahaja. Foto yang dimuat sedikit sekali menyimpul nilai berita. Keadaan demikian patut dikembangkan. Di Jepun dan juga di Filipina foto dimanfaatkan dengan meluas sekali. Di Amerika Syarikat kemajuan dalam bidang ini benar-benar dicapai setelah tahun 1935.
Soal selanjutnya ialah sejauh mana daya penggunaan foto? Ungkapan sebuah gambar yang baik dapat berbicara seribu kata kini telah menjadi semacam klise. Tidak semua gambar sebenarnya dapat berbicara demikian. Memang ada setengah gambar yang meninggalkan kesan emosi yang kuat tetapi gambar sahaja pastilah tidak membawa makna apa-apa selagi tidak diberikan keterangan (caption).
Penelitian harus dibuat untuk mengkaji sejauh mana sebenarnya daya kegunaan foto dan pengaruhnya terhadap pembaca. Di Amerika penyelidikan dalam bidang ini sering dibuat. Ia tidak sahaja mencakupi bidang kewartawanan
foto tetapi juga bidang periklanan. Gambar-gambar bersifat kewartawanan foto yang termuat di dalam majalah dan suratkhabar sering dipertandingkan. Perkara yang sama juga sedang dilakukan di negara kita dan ini merupakan satu petanda yang baik.
Pembaca suratkhabar dan majalah mengkehendaki lebih dari hanya tulisan. Sesuatu yang lebih itu ialah gambar. Dari penyelidikan diketahui bahawa gambar memainkan peranan penting dalam bidang komunikasi. Kalau tulisan mempunyai seni, gambar juga mempunyai seni yang tersendiri. Tulisan di sertai dengan gambar akan lebih berkesan. Lebih kurang 25% dari pemberitaan dapat diabadikan dengan gambar.
Hasil penelitian yang dibuat di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pelanggan sebuah majalah telah meningkat 70% setelah majalah tersebut memuatkan gambar hitam putih dan warna dengan banyaknya. Gambar warna memberi kesan yang berlainan kepada masyarakat pembaca. Oleh sebab itulah banyak majalah di sana mempunyai kecenderungan menyiarkan gambar-gambar berwarna. Hingga saat ini bahagian periklananlah yang banyak menggunakan gambar-gambar berwarna kerana di dapati gambar-gambar tersebut mempunyai kesan yang kuat kepada emosi pembaca.
Seorang wartawan foto sama juga seperti wartawan biasa. Kalau wartawan menulis berita, yang harus difikirkan ialah bahagian mana dalam beritanya yang penting. Apa yang dapat dibuat sebagai intro. Apa yang merupakan tajuk berita. Pertanyaan seperti ini akan timbul juga pada wartawan foto. Perbezaannya wartawan biasa menulis dengan menggunakan kata-kata sedang wartawan foto menulis dengan menggunakan gambar.
Etika dalam fotografi
Foto mempunyai kesan yang hebat jika dibandingkan dengan pemberitaan biasa. Contohnya seorang penjenayah ditangkap, kemudian gambarnya disiarkan dalam suratkhabar. Perkara ini lebih memberi kesan langsung kepada kepada masyarakat pembaca. Ini berbeza dengan pemberitaan biasa, di mana reaksinya tidak begitu cepat. Beban yang ditimpa terhadap wartawan foto memang besar. Dalam hal ini wartawan foto tidak boleh mengambil gambar secara sembarangan. Di Amerika Syarikat contohnya banyak sekali sehingga wartawan foto dibawa ke mahkamah kerana melanggar daerah peribadi (privacy) seseorang.
Dapatkah wartawan foto dilepaskan bebas tanpa ada ikatan dan peraturan-peraturan tertentu? Hukum tidak mungkin memberi jaminan seratus peratus pada wartawan foto. Justeru itu setiap negara menentukan jaminan-jaminan hukum pada wartawan foto. Ini adalah jaminan keamanan yang sekaligus merupakan masalah yang cukup besar dan serius. Di sini kalau kita bertolak pada hak, publik sendiri mempunyai hak terhadap maklumat sedang wartawan pula punya hak untuk memberi maklumat pada publik.
Mengganggu kehidupan peribadi melibatkan soal etika dalam kewartawanan foto. Mengambil gambar mangsa yang ditimpa kesedihan bukanlah perkara yang baik. Wartawan foto sebenarnya mempunyai kebebasan tapi kebebasan ini mempunyai batasan tertentu. Satu ‚`hukum’ dalam kewartawanan foto berbunyi: `Semakin terkenal seseorang itu, semakin kurang hak peribadinya.’
Soal lain adalah soal kejujuran wartawan foto sendiri. Pembohongan atau mengadakan perkara yang tidak ada, merupakan satu lagi masalah kewartawanan foto. Misalnya mengadakan sesuatu gambar yang sengaja dibuat untuk mendapat nilai berita. Katakanlah suatu rompakan sebuah bank telah berlaku dan wartawan foto telah terlambat mengambil gambar. Kemudian jurugambar melakonkan kejadian rompakan tadi dan menyiarkan dalam suratkhabar seolah-olah kejadian itu benar-benar berlaku. Ini jelas satu tindakan yang tidak beretika.
Walaupun profesi kewartawanan telah wujud begitu lama di negara ini, kita belum lagi mempunyai kod etika kewartawanan iaitu berbanding dengan Indonesia yang mempunyai kod etikanya yang tersendiri dan Amerika dengan Canon 35 iaitu kod etika yang di dalamnya terkandung pembelaan terhadap wartawan dan wartawan foto khususnya.
Dalam membahas persoalan tersebut amatlah sulit membuat garis tegas kerana dalam setiap negara pasti terdapat perbezaan-perbezaan norma social dan norma-norma hokum.