Tajuk ini terlalu sering dibicarakan. Sering mendapat liputan di dalam seminar-seminar. Rencana ini adalah merupakan ulangan tulisan agar masyarakat Islam khususnya masih sedar bahawa kita masih bergantung kepada berita yang disodorkan oleh Barat – lebih-lebih lagi Amerika Syarikat (AS).
Bilangan penduduk Islam di dunia hari ini dianggarkan berjumlah lebih satu billion. Negara Islam mempunyai satu pertubuhan yang cukup besar yakni Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Dari aspek ekonomi, politik, ketenteraan dan teknologi, hampir seluruh negara Islam bergantung pada negara-negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat, negara-negara Eropa dan Jepun. Dari segi maklumat, negara ini juga bergantung pada sumber berita Barat. Agensi-agensi berita utama dunia yang dimiliki oleh Barat adalah seperti Reuter, Associated Press (AP), United Press International (UPI) dan Agence France Presse (AFP). Rencana ini membincangkan sejarah yang membuat keterikatan agensi-agensi berita Islam terhadap Barat dan apakah yang terkandung di dalam laporan MacBride, isu-isu media Imperialis Barat dan saranan yang perlu diambil agar dapat mengurangkan keterikatan tersebut.
Sejarah Keterikatan
Selepas perang dunia kedua, Amerika Syarikat (AS) menjadi salah satu kuasa besar dunia. Sehubungan dengan itu AS sering ditunjukkan oleh banyak pihak sebagai negara model dalam system demokrasi sehingga selalu disinonimkan dengan Barat. Antara ciri sistem itu ialah kebebasan sepenuhnya pada informasi. Konstitusi utama pada AS tentang kebebasan informasi (The First Amendment to the US Constitution berbunyi : (“Congress shall make no law….abridging freedom of speech or of the press.”) Kongres tidak boleh membuat undang-undang…buat menjambatani kebebasan berbicara atau akhbar. Konsep ini, mengandaikan bahawa pemerintah tidak boleh mengganggu proses menyebarkan berita. Secara teorinya, akhbar mesti bebas dan berdiri di luar pemerintah. Dengan ini segala macam idea baik atau pun buruk mestilah dibenarkan bergerak melalui pasaran idea (market place of ideas) buat mencapai kebenaran.
Gagahnya AS dalam dunia media berkait dapat dengan fakta sejarah. Dahulu semasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ditubuhkan (1945) hanya 50 negara sahaja yang menyertainya sebagai ahli. Separuh daripada negara tersebut terletak di benua Amerika Selatan dan dua perlima daripadanya tunduk kepada AS. Eropah Barat yang sewaktu itu menghadapi masalah ekonomi dan politik yang tidak stabil juga bergantung pada AS. Oleh itu, AS dapat menguasai forum antara bangsa. Kesannya kebanyakkan dokumen antarabangsa yng dibentuk saat itu adalah di bawah pengaruh AS. Misalnya, ialah Universal Declaration of Human Rights (1948). Dalam artikel 19 deklarasi berkenaan menyebut bahawa kebebasan informasi adalah landasan utama bagi manusia: “Everyone has the right to freedom of opinion and expression, this includes freedom of hold opinions without interference seek, receive and impart information and idea through any media and regardless of frontiers (Brownie, 1967, hal. 135)
Apabila Pertubuhan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Scientific and Cultural Organization) dibentuk pada tahun 1945, ia juga dikuasai oleh Barat dengan AS, Britain, Perancis dan Jerman menjadi teraju utamanya. Cadangan pertama perlembagaan UNESCO antara lain mengutamakan kebebasan arus komunikasi antara bangsa.
Sebenarnya kebebasan informasi bukanlah suatu konsep yang remeh tapi berkait rapat dengan peradaban dan merupakan ideologi Barat. Konsep ini terikat kuat dengan konsep laissez-faire (a general principle of non-interference). Memang , manfaat Perang Dunia Kedua membawa keuntungan besar bagi AS; ia muncul sebagai kuasa besar yang mempengaruhi negara-negara lain di dunia. Teknologi baru di dalam bidang komputer, satelit dan televisyen yang diadunkan dengan jaringan perniagaan yang hebat telah mendorong AS untuk menduduki tempat utama di dalam bidang ekonomi dunia, sedangkan pada masa itu negara-negara lain di dunia masih lagi pada peringkat membangun.
Suasana pada akhir tahun 1950an dan awal 1960an juga mengubah peta dunia; banyak negara baru merdeka muncul. Berikutan dengan ini, banyak negara Dunia Ketiga mengambil tempat di dalam forum dunia, terutama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Perkembangan ini kemudiannya meyerlah tingkah dunia Barat terutama AS; kebebasan informasi ala Barat cuma bersifat sehala sahaja, iaitu dari negara maju ke negara-negara miskin. Dalam kaitan itu negara-negara berkecuali (Non-Aligned Movement countries) yang dibentuk di Bandung (1955) membuat penetapan bahawa mereka mesti membebaskan diri dari kolonialisme Barat. Dalam isu informasi dunia, Persidangan Keempat Ketua-Ketua Negara Berkecuali yang berlangsung di Algeria (1973) mengambil keputusan agar satu jaringan komunikasi baru dibentuk bagi menggantikan jaringan yang sedia ada, yakni yang ditinggalkan oleh penjajah.
Mereka meminta susunan informasi dunia diubah. Tambahan pula liputan beria dunia saat itu sepenuhnya dikuasai oleh organisasi berita yang kebanyakannya berpangkalan di AS, yakni the United Press International (UPI), Associated Press (AP). Sementara itu Reuters bergerak di Britain dan Agence France Presse (AFP) berpusat di Perancis. Para pengkritik melihat pihak media Barat kerap memuatkan liputan berita yang tidak seimbang dan kebanyakannya adalah daripada sudut pandangan Barat. Dalam kata lain, berita tersebut memancarkan sikap dan kehendak Barat. Ada negara pula yang berpendapat baahwa media Barat cuma memandang keuntungan selain membawa pengaruh budaya yang kurang sihat.
Rosemblum (1977, hal. 815) menyimpulkan “media Barat memberikan pertalian yang kurang mendalam mengenai negara ketiga, sering berbau berat sebelah dari pandangan Barat. Sering memberi penekanan pada berita sensasi/emosi yang menyangkut soal rampasan kuasa dan bencana alam, jarang memuatkan mengenai proses pembangunan negara membangun. Monopoli berita oleh New York, London dan Paris adalah menandakan munculnya kolonialis baru dan dominasi budaya (“Reporting from the Third World,” Foreign Affairs, 55, hal. 815-835).
Narinder K. Aggarwala, wartawan dari India yang bekerja dengan Bangsa-Bangsa Bersatu, di bahagian pembangunan menyingkap bahwa bantahan negara-negara ketiga terhadap agensi berita antarabangsa adalah cuma satu perempat berita dari negara ketiga sahaja yang dimuat di dalam empat agensi berita utama antarabangsa (UPI, AP, Reuters dan AFP), sekalipun penduduk di negara membangun adalah berjumlah dua pertiga dari penduduk dunia. Yang kedua, semua berita yang dimuatkan adalah terlalu negatif yang hanya mengenai kemiskinan, malapetaka, pemberontokan dan berita yang dimuatkan semata-mata untuk keuntungan dan keagungan negara utama yakni Barat (Tattarian, 1978, hl. 3)
Masmoudi (1979), juga ahli dalam Suruhanjaya MacBride memberi tujuh ciri utama yang menandakan tidak seimbangnya berita antara Barat dan Timur.
(1) Jumlah berita dan informasi yang datang dari utara ke selatan
bersifat satu arah yang merupakan 80% berita adalah diterajui oleh agensi Reuters, UPI dan AP.
(2) Sumber informasi yang tidak seimbang: Tidak seimbang ini
juga berlaku dalam frekuensi radio antara negara maju dengan negara ketiga. Di mana negara ketiga tidak ada cara untuk mempertahankan diri dari dominasi penyiaran luar negara. Dalam program TV juga terlalu banyak program yang di import dari negara pertama.
(3) Dominasi informasi juga adalah datang dari negara Barat –
Kawalan adalah dari agensi-agensi berita yang besar dari Barat.
(4) Negara-negara ketiga mempunyai sistem jaringan informasi
yang serba kekurangan. Hingga saat ini peristiwa-peristiwa yang terjadi di seluruh dunia sering dibuat oleh agensi-agensi berita besar dunia di mana berita ditulis, diolah, disaring, dipotong mengikut kacamata orang Barat. Kewartawanan Barat selalunya bersifat negatif mengenai krisis, demontrasi dan lain-lain.
(5) Masmoudi menyatakan sesuatu peristiwa ditulis mengikut
kehendak masyarakat Barat. Beliau menulis:
“Dalam system dunia informasi hari ini selalunya informasi
menyentuh politik, ekonomi dan budaya kolonial
mengenai negara berkembang. Liputan peristiwa yang
sering dibuat adalah menyangkut fakta yang semuanya
menjadi kepentingan sistem pentatbiran Barat yang di
jalankan oleh agensi-agensi berita antarabangsa seperti
UPI, AP dan Reuters.” (1979, hal. 174)
(6) Pengaruh asing dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya;
Masmoudi merasakan negara maju telah memainkan peranan
dalam mendominasi proses media melalui penanaman modal
secara langsung. Beliau menulis:
“Terdapat cara lain dalam kawalan media, yakni dalam
monopoli periklanan melalui agensi besar dunia
yang bermukim di Barat, yang semata-mata mengun-
tungkan undustri Barat melalui “Commercial corporations
yang menerajui rangkaian ekonomi dunia.” (1979, hal. 174)
Periklanan melalui radio, TV adalah merupakan alat dominasi budaya yang menjadi perosak pada nilai-nilai budaya negara berkembang.
Pengaruh kebudayaan luar biasa dari satu jurusan sudah tentu mengganggu kehidupan masyarakat negara lain. Keunikan suatu kebudayaan baru yang disiarkan melalui filem-filem iklan dan program-program TV akan memikiat manusia dan menghilangkan dayacipta masyarakat lain. Kebudayaan ini akan menggangu dan melumpuhkan seluruh kebudayaan lain yang sudah berabad-abad disusun, dipupuk, diawasi dan disanjung.
(7) Mesej yang kurang sesuai: Media di negara maju kurang memikirkan keadaan pendapat masyarakat (public opinions) sesebuah masyarakat negara lain. Segala berita, rencana yang ditulis adalah berlandaskan keadaan masyarakat negara mereka sendiri.
Mustaffa Masmoudi, bekas Menteri Penerangan Tunisia juga merupakan tokoh utama dalam memperjuangkan soal order baru komunikasi ini. Beliau menegaskan bahawa orde baru komunikasi, bukanlah bertujuan untuk menyekat arus informasi tetapi semata-mata untuk mencapai “keseimbangan informasi antara bangsa.” Perbincangan untuk menubuhkan order baru ini sebenar bukanlah hal baru kerana isu ini telah pun disebut pada sessi Jawatankuasa Kebebasan Manusia (the Commission for Human Rights), Mexico City (1956), Bangkok (1960), Santiago (1961) dan Adis Ababa (1962). Hanya istilah “New World Information Order,” pertama kali digunakan oleh Hedi Nouri, Perdana Menteri Tunisia, sewaktu membuka Simposium Persidangan Negara-negara Berkecuali di Tunisia pada bulan Mac, 1974 (Masmoudi, 1978).
Persidangan Menteri-menteri Penerangan dari Negara-negara Berkecuali (1974) kemudiannya menyetujui untuk menubuhkan order baru informasi. Cadangan ini mendapat sokongan kuat daripada kedua-ketua negara Berkecuali yang bersidang di Colombo, Sri Lanka pada bulan Ogos 1979 (Oledski, 1981).
Isu ini tidak selesai sehingga Setiausaha Agung UNESCO melantik suruhanjaya untuk menyelidiki keseluruhan masalah komunikasi dunia. Sebuah Suruhanjaya yang dipengerusi oleh Sean MacBride (yang mendapat anugerah Lenin dan Nobel Peace Prize) dari Ireland, telah diberi tugas untuk mengkaji masalah ini. Tujuan pembentukan Suruhanjaya ini adalah untuk mengkaji masalah komunikasi dalam masyarakat dunia moden hari ini yang dituju khas pada media massa dan berita, menyarankan orde jaringan komunikasi yang baru dan menyelesaikan masalah secara aman antara negara maju dengan negara membangun buat pembangunan manusia sejagat.
Sewaktu persidangan UNESCO di Paris (1978) dijalankan, Suruhanjaya ini telah menyerahkan laporan yang diberi nama “Many Voices – One World,” dan ini kemudiannya disahkan oleh persidangan UNESCO di Belgrade, 1980. Kesannya adalah menimbulkan kemarahan dari pihak Barat terutama AS. Akhirnya AS menarik diri daripada menyertai UNESCO. Setengah pemimpin Barat meyatakan bahawa UNESCO kini sudah menjadi badan politik, bukan lagi badan penyelidikan saintifik dan kebudayaan antara bangsa. Laporan MacBride antara lain membincangkan hal-hal berikut:
Kawalan Arus Informasi Dunia (Control of World Information)
Ini merupakan cetusan utama yang sering dibuat oleh negara-negara berkecuali berpunca daripada keunggulan negara Barat dalam arus informasi dunia. Ini dapat dilihat daripaa bilangan agensi berita, filem program-program televisyen, periklanan dan penerbitan yang tersebar. Banyak negara membangun membuat tuduhan bahawa kebanyakan arus berita dunia dikuasai oleh UPI, AP, AFP dan Reuters. Jumlah keseluruhan berita yang dihasilkan oleh empat wire services ini adalah 32,850,000 perkataan setiap hari. (AP : 17,000,000 perkataan, UPI : 1,000,000; AFP : 3,350,000 dan Reuters: 1,500,000. Sedangkan wire service yang lain adalah Deutsche Presse Azentur (Federal Republic Of Germany): 115,000 perkataan. Italian Azenzia Nazionale Stampa Associata: 300,000 perkataan. Spanish Agensia EFE : 500,000 perkataan). Telegrafka Agencia Nova Jugoslarya (Tanjug, Yugoslavia: 75,000 perkataan), dan Inter-Press Service : 100,000 perkataan. (Hamid Maulana, International Flow of Information, Global Report and Analysis, 1988).
Selain jumlah berita yang kecil, agensi ini juga menetapkan “the nature of news.” Bagi pihak Barat, semakin negatif sesuatu kejadian semakin baik untuk dijadikan berita. Dalam dunia hiburan, pihak Barat memasarkan sejumlah besar filem-filem hiburan mereka hampir keserata pelusok dunia. Jumlah peratus program yang di exsport oleh AS adalah berlipat ganda berbanding negara-negara lain di dunia. Rancangan televisyen diseluruh dunia boleh dikatakan dikawal oleh program dari AS. Arus program televisyen pula bersifat cuma satu arah (one-way flow), dari Amerika Syarikat ke negara-negara lain di dunia.
Sementara itu, lapan puluh peratus industri kertas dunia terletak di Barat. Dalam dunia periklanan, kebanyakan syarikat yang berpotensi di Dunia Ketiga adalah dimiliki oleh negara-negara maju, terutama Amerika Syarikat. Malah iklan komersil di Amerika Latin didapati mengikut seratus peratus model Amerika Syarikat.
Imperialisme Budaya (Cultural Imperalism)
Bersama arus filem, nilai-nilai budaya Barat turut diselitkan. Bagi pihak Dunia Ketiga inilah imperialisme budaya. Ini adalah sesuai dengan analisa Johan Galtung yang membicarakan soal keterikatan negara-negara membangun terhadap negara-negara maju (dependency theory). Keterikatan ini adalah di dalam segenap aspek ekonomi, informasi, bantuan ketenteraan dan lain-lain. Bagi beliau negara dunia terbahagi dua. Negara pusat (center) dan negara sempadan (periphery). Negara-negara sempadan inilah yang sering terikat pada negara pusat. Sedangkan imperialisme bererti satu sistem yang dominan menjajah negara-negara yang lemah atau negara sempadan dan menimbulkan “disharmony of interest” atau “conflict of Interest.” Yakni negara pusat mempunyai kuasa terhadap negara-negara sempadan dan menimbulkan kondisi yang tidak harmoni. (Johan Galtung: A Structural Theory of Imperialism).
Komputer dan Komunikasi (Computers and Communications):
Keunggulan Amerika Syarikat di dalam bidang teknologi komputer memanglah cukup mengganggu kedaulatan negara-negara lain. Sehingga kini penjualan komputer antarabangsa yang dibuat oleh Amerika Syarikat berjumlah 80 peratus. Dalam tahun 1980’an IBM, sebuah syarikat besar dari Amerika Syarikat menguasai sepertiga pasaran mikrokomputer dunia.
Alokasi Ruang Udara (Spectrum Allocations)
Negara dunia ketiga juga merasakan bahawa ruang udara (spectrum allocations) hanya dikuasai oleh negara pertama. Beratus satelit telah dilancarkan oleh AS dengan membawa bermacam-macam keuntungan untuk negaranya. Hari ini masalah penempatan (parking) satelit diruang angkasa juga merupakan masalah kerana ruang tidak mencukupi. Sehingga frekuensi yang paling baik menjadi milik mutlak negara-negara pertama. Negara-negara ketiga meminta agar mereka diperuntukkan ruang udara tersendiri apabila mendapat kapasiti teknikal yang tinggi.
Aliran Data Melampaui sempadan (Transborder Data Flow):
Isu ini adalah sama dengan isu kedaulatan informasi. Aliran data melampaui sempadan ini sebenarnya berkait rapat dengan informasi digital yang disimpan, iaitu yang kemudian dikirimkan kesesebuah negara dengan menyeberangi sempadan negara lain. Tidak seperti hasil lain, informasi dapat digunakan kemudian dijual. Negara dunia ketiga, negara Eropa dan Kanada turut membuat bantahan mengenai hal ini. Kata mereka, aliran sedemikian melanggar keselamatan nasional (national security) dan keperibadian sahsiah seseorang.
Satelit Penderian Jauh (Remote Sensing Satellite):
Satelit jenis ini membabitkan persoalan pengawalan informasi. Negara dunia ketiga membuat bantahan bahawa negara-negara maju sering menggunakan ruang angkasa mereka tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu. Satelit bumi yang dimiliki oleh AS dapat mengetahui keadaan muka bumi setiap negara dan dapat mengetahui bahagian-bahagian bumi yang mempunyai minyak dan bahan galian lain dimana negara tuan rumah sendiri tidak mengetahui. Ini merupakan pelanggaran kedaulatan negara (national sovereignty) mereka.
Penyiaran Langsung Menerusi Satelit (Direct Broadcast Satellite)
Siaran satelit langsung dari satu negara ke satu negara lain adalah suatu tindakan pelanggaran kedaulatan nasional dan seharusnya sesuatu negara mesti diberitahu terlebih dahulu sebelum pancaran satelit dibuat.
Isu-isu lain
Howard Kurt dalam bukunya Media Circus: The Trouble with America’s Newspapers, mendakwa media Barat khususnya media Amerika Syarikat telah hilang arah. Kebebasan media Barat telah menghilangkan etika kewartawanan Barat. Beliau meminta agar wartawan Amerika Syarikat perlu kembali menjulang kegemilangan silam. Barat sering membina imperialisme menerusi medianya. Laporan perang Teluk juga dipenuhi dengan laporan yang tidak seimbang. Begitu juga laporan perang di Iraq. Laporan-laporannya berperanan sebagai sumber propaganda politik. Apa sahaja yang menjadi lambang Islam sudah tentu menjadi musuh media Barat. Peristiwa hancurnya World Trade Center di New York adalah kerana Islam. Inilah tuduhan dari media Barat. Bagi media Barat kebangkitan Islam adalah merupakan suatu ancaman dan ditakuti. Inilah teori yang dikemukakan oleh Samuel Huntington di dalam bukunya Clash of Civilization. Yakni teori yang sengaja dicari-cari oleh Barat untuk mencari musuh lain setelah kecundangnya Soviet Union.
Penderitaan rakyat Islam Bosnia suatu masa dulu tidak mendapat simpati dari media Barat, kerana Bosnia adalah masyarakat Islam dan kedua Barat tidak mempunyai kepentingan di Bosnia, tidak seperti negara kecil Kuwait. British Broadcasting Corporation (BBC) tidak membenarkan RTM menyunting berita yang dibeli darinya. Sebalikya pihak RTM perlu menyunting agar sesuai dengan keadaan tempatan.
Berhubung dengan masalah-masalah ini Jawatankuasa MacBride menyarankan bahawa negara-negara membangun harus tegas dan menjayakan Orde Baru Informasi Dunia. Antara kaedah ini:
• Asia merupakan benua pertama yang membentuk perhubungan antara agensi-agensi berita di rantau ini. Agensi ini diberi nama Organization of Asia Pacific News Agencies (OANA) pada tahun 1961.
• Agensi-agensi di Asia Tenggara seperti ANTARA (Indonesia), BERNAMA (Malaysia) menyambungkan hubungan ke agensi International Islamic News Agency (IINA), Jeddah dan DPA (Jerman Barat).
• Agensi-agensi berita seperti Caribbean News Agency, Action by National Information Systems Central / South America (ASIN), Federal of Arab News Agencies (FANA) dan lain-lain mengambil langkah untuk memperkuatkan hubungan.
• The Asia-Pacific News Network (ANN) membuka pintu untuk Turki/Iran, China dan Korea pada tahun 1981.
• Pertubuhan Pembebasan Palestin dalam usaha untuk memberikan berita yang betul tentang perjuangannya, telah menubuhkan WAFA pada tahun 1976. Selepas revolusi Islam Iran telah menubuhkan pula Islamic Republic News Agency (IRNA).
• Negara Arab juga telah menubuhkan Federation of Arab News Agency dalam usaha untuk mewujudkan kerjasama antara akhbar-akhbar negara-negara Arab.
• Dirantau ASEAN, Bernama telah mengendalikan Asean News Network (ANEX) pada tahun 1980 dan Asia Pacific News Network pada tahun 1981.
• Disemua negara membangun telah berusaha megadakan latihan-latihan untuk wartawan-wartawan untuk mempertingkatkan profesionalisma. Peralatan-peralatan baru buat membina mutu kerja turut dibeli. Usaha-usaha tersebut telah sedikit sebanyak meningkatkan mutu berita media massa untuk negara-negara Islam tetapi masih belum cukup untuk menandingi kekuatan sumber berita dari media Barat.
Sesuai dengan seruan di dalam laporan MacBride, negara-negara sedang membangun terutama negara Islam sepatutnya mencari jalan keluar dengan bersatu antara satu sama lain untuk menghasilkan satu saluran mutlak untuk negara Islam untuk disalurkan keseluruh dunia. Al Jazeera adalah contoh terbaik yang ada pada waktu ini. Bermula pada tahun 1996, dengan modal US$150 juta, berpusat di Doha, Qatar. Saluran ini merupakan saluran bahasa Arab. Terbaru dilancarkan saluran di dalam bahasa Inggeris. Saluran ini mendapat kutukan dari AS yang mengatakan saluran otokratik negara Teluk. Sejarahnya bermula pada 1996, BBC World Service’s Arab Saudi yang memiliki syer dengan BBC yang menyiarkan siaran di dalam bahasa Arab merasakan siarannya sering mendapat suntingan (censorship) yang keterlaluan. Akhirnya siaran tersebut ditutup dan ramai dari pekerja dari BBC ikut serta di dalam pembentukan Saluran televisyen Al-Jazeera. Al-Jazeera menukar lanskap pemberitaan bagi negara-negara Arab, yang berpegang pada saluran bebas dari politik dan bertujuan menyampaikan berita yang telus tanpa gangguan politik. Al-Jazeera merupakan saluran transformasi yang dikelas sebagai “alternative media.” Sebenarnya saluran media seperti ini dicontohi oleh negara Islam tetapi masih diganggu oleh pihak Amerika Syarikat dan Great Britain.
Sebaiknya tiap benua di dunia ini membentuk agensi berita Islam tersendiri untuk menjadi “supplier” kepada seluruh negara Islam lain. Maklumat adalah merupakan kekuatan. Ini perlu dipandang penting oleh pemerintah negara Islam.
Adalah sesuatu yang sulit untuk menandingi agensi berita negara Barat terutama AS yang mempunyai peralatan canggih dan para wartawan profesional yang lama terlatih dan tersusun cara kerja, tetapi hasrat yang kuat perlu ditanam untuk mengelakkan laporan dari media Barat yang berat sebelah perlu ada di dalam agenda pemerintah Islam. Negara-negara Islam yang kaya perlu memberi bantuan kepada negara Islam yang miskin. Keadaan pendidikan dalam setiap negara Islam perlu diteroka dengan sungguh-sungguh agar kadar buta huruf dikurangkan. Kadar perbezaan jurang informasi atau dikenal dengan istilah “digital divide,” antara penduduk luar bandar dan bandar dapat dikurangkan segera. Kesedaran setiap pemerintah memperbaikki taraf hidup, taraf pendidikan di dalam negara perlu dimanfaat dengan sungguh-sungguh. Sistem internet yang datang dari Barat perlu diteliti dan dapat menggunakan alat ini dengan seksama buat keberuntungan
rakyat.
Penutup
Setelah 27 tahun lebih Laporan Suruhanjaya MacBride diterbitkan, AS mengundurkan diri dari UNESCO – debat Orde Baru Informasi dunia masih lagi berlangsung, dan tanda-tanda menunjukkan masalah ini tidak akan selesai hingga kehari ini.
Reaksi terhadap Laporan Suruhanjaya MacBride memang bermacam-macam, tetapi apa yang penting ialah laporan tersebut menyangkut soal-soal penting di dalam mendemokrasikan soal komunikasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dasar utama yang dilaungkan di dalam laporan tersebut adalah mengenai kemajuan informasi dan komunikasi di seluruh dunia.
Apa yang diharapkan oleh seluruh negara Islam termasuk negara membangun lain adalah satu jaringan komunikasi dunia yang tidak sahaja dikuasai oleh negara-negara maju sahaja khususnya negara AS, tetapi sebaik-baiknya mencerminkan kerjasama antara negara maju dan negara-negara membangun.
Rujukan:
1. Aggarwala, Narinder., 1982, “The Third World View,” In Crisis in International News: Policies and Prespects. New York: Columbia University Press.
2. Anawalt, Howard C., 1981. “ Is the MacBride’s Approach Compatible with the United States Constitution?,” Journal of Communication, Winter.
3. Frederick, Howard. 1986 “International Information Relations and Human Rights and New World Orders,” Paper prepared to World Policy Journal, New York, hal. 10.
4. Gunter, Jonathan. 1979. “An Introduction to the Great Debate.” Journal of Communication, 29 (2), hal. 17-19.
5. Hachten, William A. 1981, The World Prism: Changing Media. Clashing Ideologies, Ames, Iowa State University Press.
6. Mankekar, D.R. 1981, Whose Freedom? Whose Order? A Plea for a New International Information Order by Third World; New Delhi: Clarion Book.
7. Masmoudi, Mustapha, 1982. “The New World Information Order.” In Richstad and Michael H. Handerson, Crisis in Inrernational News, Policy and Prospects, New York: Columbia University Press.
8. Mowlana, Hamid, 1985, “International Flow of Information: Global Reports and Papers on Mass Communication.” Paris, UNESCO.
9. Nordenstreng, Kaarle; Herbert I. Schiller, 1979. National Sovereignty and International Communication, Norwood, NJ: Ablex Publishing Corp.
10. Rosenblum, Mort. 1977. “Reporting from the Third World.” Foreign Affairs, 55 (4) hal. 815-835.
11. Tattarian, Roger. 1977, “News Flow in Third World: Some Problems and Proposal.” Paper presented at the New York: May 12-13.
12. UNESCO. 1982, Many Voices, One World, Paris: UNESCO.
13. Varis, Tapio, 1985, International Flow of Television Programmes, Paris. UNESCO.
14. Miles, Hugh; AL-jazeera, How Arab TV News Challenged the World, Published in Great Britain in 2005 by Abacus, London, 2005.