Kemampuan memilih, mengatur elemen-elemen di dalam gambar adalah seluruhnya bergantung pada jurugambar. Keputusan memilih tempat, mengubah posisi kamera, menyeimbang letak objek, memilih susunan cahaya adalah keputusan jurugambar.
Mengikut kamus fotografi, komposisi bererti memberi bentuk dalam gambar. Bentuk apa? Jawapannya adalah menurut kehendak dan penghayatan jurugambar. Elemen-elemen yang mewakili gambar, sama ada terang atau kabur, susunan warna, perspektif, posisi objek, ukuran gambar adalah elemen yang tercangkup di dalam komposisi. Susunan grafik gambar dan komponen-komponen yang diadunkan adalah rapat dimasukkan dalam komposisi.
Komposisi bukan perkara tambahan, misalnya apabila sudah digunting (cropping) di dalam kamera bererti sesuatu objek sudah tentu terkeluar dari gambar sebenar. Komposisi adalah soal utama yang mesti difikirkan sewaktu jurugambar mahu mengambil gambar. Komposisi yang bagaimana yang dianggap paling baik? Jawapannya sudah tentu berbeza bagi berlainan jurugambar. Jurugambar muda dewasa ini mempunyai penghayatan dan pengamatan tersendiri terhadap komposisi.
Peraturan khusus di dalam fotografi mengenai komposisi tidak pernah dibuat oleh mana-mana jurugambar terkenal, tetapi peraturan-peraturan tertentu dalam komposisi adalah terlalu peribadi. Tiap orang mempunyai reaksi berlainan apabila melihat sesuatu gambar. Sebagai jurugambar kritik terhadap hasil karyanya harus diterima dengan sedang hati agar dapat dirinya sendiri memperbaiki lagi hasil pengambilannya.
Komposisi di dalam fotografi mempunyai dua tujuan. Pertama adalah untuk menolong persepsi agar idea dan perasaan jurugambar dapat dirasai oleh yang melihat. Kedua, adalah untuk keseimbangan objek di dalam gambar agar elemen-elemen dalam gambar dapat menjadi satu kesatuan. Gambar adalah bahasa yang mempunyai perbendaharaan kata dalam komposisi seperti bentuk, garis, susunan, corak, warna, terang dan gelap, tajam dan kaburnya sesuatu objek. Apabila elemen tersebut disusun secara teratur gambar akan lebih mudah difahami dan dihayati oleh yang melihat. Pada landasannya susunan gambar yang baik adalah susunan objek yang tidak mengelirukan. Gambar yang disusun secara kurang teratur akan menjemukan orang yang melihat. Komposisi juga akan dapat mempengaruhi emosi yang melihat.
Bentuk mempunyai keperibadian tersendiri. Bangunan, manusia, binatang, pohon-pohon dan lain-lain mempunyai bentuk yang berlainan. Garis juga mempunyai effek emosi tersendiri. Warna cahaya, cahaya gelap dan terang memberi kontras tertentu dan mempunyai kekuatan tersendiri. Alasan-alasan tersebutlah yang membuat komposisi cukup penting di dalam fotografi. Pada hakikatnya tahap mempelajari komposisi secara effektif adalah latihan dari dasar. Penghayatan yang baik akan menjadi perkara biasa bagi seseorang jurugambar dalam soal ini.
Oleh itu dikatakan kalau mahu menjadi seorang jurugambar yang benar-benar baik harus sedar dengan lingkungan. Melihat sesuatu kejadian dengan mata yang tajam. Lebih-lebih lagi wartawan foto harus melihat sesuatu kejadian dari mata seorang wartawan. Abadikan kejadian dari pandangan seorang wartawan.
Kemahiran dalam komposisi tidak datang dengan sendiri. Kecekapan harus dipelajari melalui latihan. Menvisualisasi gambar mesti dilihat soal-soal seperti bentuk, warna, sudut, guntingan (cropping) dalam gambar tersebut. Semata-mata menghasilkan gambar yang datar tidak menarik adalah tidak menguntungkan. Latihan dan pengalaman yang dapat menjadikan soal ini sebagai tabiat biasa (automatic habit). Kalau pelukis mempunyai kebebasan dalam mencoret gambar-gambar di atas kanvas, jurugambar pun demikian dalam soal memilih kawasan gambar (picture area) melalui viewfinder kameranya. Membuang dan memasukkan objek tertentu agar komposisinya lebih bererti adalah tugas jurugambar. Terdapat beberapa cara dalam mengawal objek-objek yang harus masuk ke dalam gambar. Cara-cara tersebut adalah:
- Jarak pengambilan (shooting distance): Untuk mendapat objek yang lebih luas ke dalam viewfinder kamera, anda mesti bergerak ke belakang, ke sisi kanan atau ke sisi kiri. Ini terserah kepada kreativiti jurugambar dalam memasukkan objek yang dimahukannya di dalam gambarnya.
- Pertukaran lensa: Lensa sudut luas (wide angle lens) dapat merangkum objek yang lebih banyak dari lensa biasa (standard lens) yakni lensa 50mm, 52mm atau 55mm. Ini bererti lensa sudut luas (28mm, 35mm) lebih merangkumi banyak objek ke dalam viewfinder kamera
- Sudut kamera atau sudut pengambilan: Dengan memilih sudut kamera yang baik dan sesuai akan memberi suasana gambar yang baik. Latar belakang atau latar depan sesuatu objek mesti difikirkan.
- Susunan objek: Kalau objek yang akan diambil adalah objek yang tidak bergerak (still object), anda dapat memilih sendiri objek-objek lain yang akan dijadikan latar belakang atau latar depan objek tersebut. Ini kerap dilakukan di dalam pengambilan objek untuk pengiklanan.
- Waktu pengambilan (timing): Menunggu sesuatu objek yang bergerak adalah cara yang baik dalam komposisi. Waktu pengambilan yang sesuai untuk objek bergerak adalah soal kesabaran bagi seseorang jurugambar. Jurugambar harus memilih posisi dan sudut pengambilan agar dapat membawa komposisi yang baik bagi gambarnya.
- Menggunting (cropping): Menggunting maksudnya dapat dibuat sewaktu mengambil gambar atau dapat juga dilakukan sewaktu anda mencetak gambar. Ini merupakan salah satu cara dalam memasukkan atau membuang elemen-elemen di dalam gambar.
- Cahaya: Peranan cahaya di dalam komposisi ialah kerana cahaya dapat membentuk baying pada elemen-elemen di dalam gambar. Bayang dapat memberi nilai persepsi tersendiri. Kawalan yang baik dalam soal ini sewaktu mengambil gambar akan memberi effek emosi pada yang melihat. Susunan (texture) dan bentuk (shape) dan warna yang berbeza adalah cukup penting.
Apa yang membuat sesebuah gambar itu baik? Komposisi yang baik adalah jawapannya. Kecekapan menyusun adalah ‘sense of harmony’. Orang yang tidak mengetahui mengenai komposisi di dalam gambar pun dapat menilai dan menghakimi sesuatu gambar yang dilihatnya sama ada baik atau kurang baik. Landasan lain yang tidak kurang pentingnya di dalam mengkomposisikan sesebuah gambar adalah seperti berikut :
- Memusatkan pada objek utama (center of interest): Sebelum anda mengambil gambar perkara utama adalah memilih objek utama yang mahu diambil. Ini bererti sesuatu yang dapat menarik perhatian di dalam gambar. Sama ada dari segi perasaan, kejiwaan atau fizikal. Ini bukan bererti satu objek saja yang mahu difokuskan mungkin lebih dari satu objek. Komposkan gambar anda melalui viewfinder kamera. Pelajari seluruh keadaan, dari atas, bawah, sisi dan lain-lain sudut. Jadikan objek utama anda terang. Tanyakan pada diri anda apakah latar belakang dan latar depan memberi erti pada gambar tersebut. Jangan malas melangkah kehadapan, ke belakang dalam mengatur objek anda. Jurugambar amatur (amatuer) biasanya mempunyai sikap malas dan segan. Satu dari cara untuk menjadi anda lebih kreatif adalah dengan melihat gambar-gambar dari majalah, suratkhabar dan buku-buku untuk mempelajari teknik-teknik jurugambar yang sudah terkenal.
- Susunan dan keseimbangan: Tiap elemen yang dapat memperbaiki komposisi harus bekerja sendiri untuk mendapatkan impressi yang baik. Elemen-elemen tersebut kalau salah disusun akan memberi effek yang tidak baik pada yang melihat. Kalau anda mengambil gambar dua objek yang mempunyai ukuran yang sama. Satu objek mesti diutamakan dalam hal ini. Yakni fokus mesti dibuat pada satu objek sahaja. Dalam mengambil gambar-gambar kumpulan perkara yang harus difikirkan adalah keseimbangan objek di dalam bentuk susunan pyramid (pyramidal arrangement). Salah satu cara untuk mengawal keseimbangan adalah harus dilihat jarak objek dan keadaan sekeliling. Objek akan lebih penting dilihat letak objek tersebut di dalam gambar. Letaknya mempunyai hubungan dengan objek lain. Menyusun objek di dalam gambar adalah seperti menyusun letak perhiasan di dalam bilik di rumah anda, yakni menurut selera masing-masing. Kesederhanaan dalam susunan dapat membuat gambar anda mudah difahami. Di bawah ini diturunkan beberapa cadangan dalam meletakkan objek di dalam gambar anda.
- Jangan meletakkan objek terlalu ke pinggir gambar yang akan membuat gambarnya tidak sesuai dan aneh.
- Jangan meletakkan objek terlalu di tengah gambar. Meletakkan objek di tengah kelihatan terlalu resmi dan menjemukan dan jangan meletakkan dua objek terlalu terpisah jauh.
- Berikan kawasan pada hadapan(foreground) objek yang sedang bergerak ke hadapan atau berikan kawasan pada objek dibahagian atas untuk menunjukkan objek tersebut melompat kalau objek tersebut sedang bergerak ke atas atau melompat ke atas. Ini adalah semata untuk memperkuat atmosphere gambar.
- Kedalaman (Depth): Komposisi juga cukup penting dalam soal kedalaman agar dapat memberi gambar tiga dimensi. Tiap gambar yang anda ambil akan memberi pengaruh yang berlainan. Bagaimana cara untuk merencanakan kedalaman? Caranya adalah banyak. Apabila anda mahu mengambil gambar jalan kereta atau jalan keretapi sebaiknya diambil dari garis memanjang tidak secara melintang. Effeknya akan memberi effek kejauhan (horizon). Apabila anda mengambil gambar pemandangan sebaiknya tempatkan seseorang di sebelah gambar, ini mungkin akan dapat memberi keindahan dan memberi rasa kejauhan juga. Pohon-pohon dan ranting dapat menolong memperkuat komposisi.